07 Oktober 2012

SEJARAH AIDILADHA

Hari Raya Aidiladha (bahasa Arab: عيد الأضحى 'Eid Ul-Adha) atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.
Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan ke-sabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.
Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.
Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.
Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.
Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat dengan 7 takbir pada rakaat pertama diikuti 5 takbir pada rakaat kedua.
Pada kebiasaannya solat sunat Aidiladha dicepatkan sedikit berbanding solat sunat Aidilfitri. Hikmahnya dicepatkan sedikit waktu solat sunat Aidiladha adalah bagi memberi lebih banyak masa untuk penyembelihan korban. Hikmahnya dilewatkan sedikit solat sunat Aidilfitri pula adalah bagi membenarkan peluang bagi mereka yang belum membayar zakat menunaikan kewajipan mereka dan disunatkan makan dahulu sebelum pergi ke masjid. [1]
Manakala bagi Aidiladha, hikmat disunatkan makan selepasnya supaya makanan yang mula-mula dimakan pada hari itu ialah daging korban yang berkat. Selepas bersembahyang, upacara korban akan dimulakan. Lembu, kambing, dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan dagingnya kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.
Hari Raya Aidiladha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Mekah, mengunjung Kaabah dan melakukan korban sembelihan. Al-Quran tidak menyatakan, tetapi umat Islam memegang bahawa perayaan korban ini memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim untuk menyerahkan anaknya sebagai korban kepada Tuhan.
Selepas sembahyang, sekali lagi umat Islam akan berbondong-bondong melawati perkuburan orang yang disayangi. Semua orang akan memakai pakaian baru dan selepas itu yang muda akan memohon kemaafan daripada yang tua. Selepas itu semua orang akan menjamah pelbagai juadah yang disediakan sebelum ziarah dan menziarahi sesama mereka.

Hari Raya Aidiladha dalam hadis

  • Berdasarkan kepada hadis (terjemahan) yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Anas r.a, yang bermaksud: "Rasulullah SAW datang ke Madinah, sedangkan mereka sedang sibuk bergembira selama dua hari. Maka Rasulullah SAW bertanya: Hari apakah yang dua hari ini? Mereka menjawab: Kami biasa bergembira selama dua hari pada zaman Jahiliah: Kemudian Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT telah menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu bagi kamu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha." (Diriwayatkan Imam Abu Daud dan an-Nasai daripada Anas)
  • Berdasarkan kepada hadis (terjemahan) “Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat korban yang kamu lakukan.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)
  • Berdasarkan sebuah hadis (terjemahan) yang telah diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Al-Hakim yang bermaksud: "Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai Allah daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih."
  • Berdasarkan sebuah hadis (terjemahan) Ibnu Abbas dan Jabir bin Abdullah Al-Ansariy r.a:
Diriwayatkan daripada Ibnu Juraij katanya: Aku telah diberitahu oleh Ata' daripada Ibnu Abbas dan Jabir bin Abdullah Al-Ansariy r.a kedua-duanya berkata: Tidak ada azan bagi sembahyang Hari Raya Fitrah (Aidilfitri) dan sembahyang Hari Raya Korban (Aidiladha). Selepas beberapa ketika aku bertanya Ata' tentang perkara tersebut: Lantas dia menjawab dengan berkata: Aku telah diberitahu oleh Jabir bin Abdullah Al-Ansariy r.a bahawa: Tidak ada azan bagi sembahyang Hari Raya Fitrah (Aidilfitri), baik ketika imam keluar atau sesudahnya. Juga tiada iqamat atau apa-apa pun.[2]

KESELESAAN DAN MESRA PENGGUNA

Selamat Datang Ke Masjid Guntung Luar.

Hasil daripada sumbangan para jemaah, Pengurusan Masjid Guntung Luar telah berusaha menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada para tetamu Allah ke masjid ini. Pelbagai usaha dilaksanakan oleh pengurusan masjid dan ahli kariahnya untuk mempastikan pengunjung masjid ini dapat menyempurnakan tanggungjawab terhadap Allah dengan baik. Adalah diharapkan kunjungan ke masjid ini menjadi satu ingatan kepada para pengunjung dan semoga masjid ini menjadi satu masjid pilihan pengunjung untuk menunaikan Solat.

Kemudahan

Tandas yang bersih
Kemudahan tandas yang bersih dan terjaga disediakan kepada para pengunjung masjid. 3 buah tandas wanita dan 2 buah tandas lelaki disediakan di masjid ini.






Bilik Rehat Wanita
Semasa solat Jumaat berlangsung, sebuah bilik disediakan untuk golongan wanita (musafir) untuk berehat. Bilik tertutup ini memberi kemudahan kepada wanita untuk berehat, menyusukan anak dan sebagainya.
Lanskap menarik
Usaha menambah dan menceriakan lanskap kawasan masjid sedang giat dilaksanakan. Antaranya ialah tanaman bunga bungaan dan pokok besar.
Tanda Arah
Bagi memudahkan pengguna, tanda arah dipasang di sekitar masjid. Ianya lebih mesra pengguna dan membantu pengunjung di masjid ini.
Rak Al-Quran
Al-Quran disusun rapi di dalam rak buku. Pengunjung boleh menggunakan Al-Quran ini dan dipohon kerjasama pengunjung untuk meletakkan kembali di tempat asal selepas digunakan.
Pakaian Solat
Masjid menyediakan kain pelikat dan telekung solat untuk kegunaan jemaah yang memerlukan pakaian solat. Dipohon pengunjung meletakkan secara tersusun pakaian yang telah digunakan.
Wakaf
Tiga buah wakaf dibina secara gotong royong dan hasil sumbangan ahli kariah telah dibina bagi kemudahan pengunjung. 
Susur Pejalan Kaki
Pasu bunga diatur di sepanjang susur pejalan kaki bagi menceriakan kawasan masjid.





Kesemua usaha ini adalah dengan semangat kerjasama semua ahli kariah masjid Guntung Luar dan menggunakan sumbangan para pengunjung masjid ini. Hulurkanlah sumbangan anda kepada masjid ini supaya usaha memurnikan dan menceriakan rumah Allah ini akan dapat terus ditambah baikkan dari masa ke semasa.

Sebarang cadangan, sila kemukakan kepada pengurusan masjid. Semoga para pengunjung berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan di masjid ini.

24 Oktober 2011

PERTANDINGAN KEBERSIHAN TANAH KUBUR PERINGKAT NEGERI TERENGGANU 2011


Setelah menjadi naib johan pertandingan kebersihan tanah perkuburan peringkat daerah bagi tahun 2011, masjid Guntung Luar sekali lagi dikunjungi oleh 8 orang ahli panel bersama Al-Fadhil Pegawai Agama Daerah Setiu pada 19hb Oktober 2011. Kehadiran mereka adalah bertujuan menyempurnakan penghakiman pertandingan kebersihan tanah perkuburan peringkat negeri Terengganu.

Komitmen yang jitu oleh 30 orang ahli jawatankuasa masjid, JKKK Guntung Luar dan Badan Khairat Kematian yang setia menanti kehadiran ahli panel membuktikan kesungguhan mereka dalam menyahut cabaran merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan sebuah tanah perkuburan yang cantik dan selesa bagi pengunjungnya. Apatah lagi keindahan itu sebenarnya satu arca kepada agama Islam yang maha suci.

Para ahli panel telah mendengar taklimat yang disampaikan oleh Setiausaha Masjid Guntung Luar, saudara Hamdan bin Hamzah dan kemudian telah dibawa melihat sekitar tanah perkuburan Islam.

Sesungguhnya menjaga tanah perkuburan merupakan satu tanggungjawab kita sebagai umat Islam.

06 Ogos 2011

KEMBARA RAMADHAN JALUR GEMILANG 2011

NIKMAT KEMERDEKAAN

Kemerdekaan merupakan satu anugerah Allah kepada kita di bumi Malaysia. Sesungguhnya marilah kita sama-sama menjaga nikmat yang diberikan oleh Allah kepada kita. Renungilah

“Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Ibrahim: 7)

“Dan (ingatlah mereka wahai Muhammad) ketika Nabi berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah (yang diberikan) kepada kamu ketika ia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi, dan ia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah kamu diperhambakan oleh Firaun dan orang-orangnya) dan ia memberikan kepada kamu barang yang tidak pernah diberikan kepada seseorang pun dari umat-umat (yang ada pada masa itu).” (Al-Maidah: 20)

Pada 4hb Ogos 2011, Jam 5.00 tibalah rombongan yang dinantikan oleh ahli kariah masjid Guntung Luar. Rombongan ini membawa suatu harta yang amat berharga untuk seluruh rakyat Malaysia iaitu nikmat kemerdekaan. Setibanya di Kampung Guntung Luar, para rombongan dan ahli kariah masjid Guntung Luar sama-sama menunaikan solat Asar berjemaah.

Peserta konvoi kemudiannya bergerak ke Dataran Pusat Pertumbuhan Desa Guntung Luar disambut oleh para belia dan masyarakat kampung. Kehadiran Yang Berhormat Tuan Haji Abdul Halim bin Jusoh, Ahli Dewan Undangan Kawasan Permaisuri memberi makna yang berharga kepada program ini. Komitmen yang diberikan oleh beliau memberi semangat kepada warga Guntung Luar untuk terus berusaha menjayakan segala apa yang dirancang demi kepentingan dan kemajuan Kampung Guntung Luar.

Seterusnya beliau meletakkan bendera di kenderaan ahli Kelab Volvo dan pacuan empat roda. Konvoi yang disertai oleh berpuluh buah motosikal dan kenderaan ahli kelab VOLVO berarak mengebarkan jalur gemilang melalui jalan Kampung Guntong - Kampung Bahagia - Kampung Bintang dan kembali ke Masjid Guntong Luar untuk majlis berbuka puasa.

YB. Tuan Haji Abdul Halim bin Jusoh juga menyampaikan sumbangan kepada 25 orang anak yatim dan 25 orang warga emas dan oku. Semasa ucapannya di hadapan lebih 350 orang tetamu beliau berharap agar seluruh masyarakat khususnya warga Guntung Luar menghargai nikmat kemerdekaan yang telah dikecapi.

Selepas majlis berbuka puasa, peserta konvoi bersolat maghrib bersama para jemaah dan juga bersama-sama menunaikan solat sunat tarawih. Pada sebelah paginya pula, peserta konvoi sekali lagi bersama-sama bersahur dan mendengar kuliah subuh di masjid Guntung Luar.

Pengurusan Masjid Guntung Luar mengucapkan tahniah kepada usaha jabatan penerangan untuk memberi kesedaran kepada seluruh masyarakat tentang nikmat kemerdekaan dan kebebasan yang dianugerahkan Allah. Sesungguhnya

Pengurusan Masjid Guntung Luar juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Penerangan, Pejabat Daerah Setiu, Majlis Daerah Setiu, JKR Daerah Setiu, PDRM Daerah Setiu, Komuniti Bestari Mukim Guntung, Pengerusi-Pengerusi JKKK Mukim Guntung dan semua pihak yang terlibat menjayakan program ini.

Pengurusan Masjid Guntung Luar juga merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada ahli kariah masjid khususnya golongan wanita yang berkerja bersungguh-sungguh (sampai tidur di masjid) demi untuk mempastikan program ini dapat dijayakan dengan sempurna.


23 Julai 2011

DI AMBANG RAMADHAN

Sempena kedatangan bulan Ramadhan Al-Mubarak, Masjid Guntong Luar adalah antara tiga buah masjid di daerah Setiu yang dipilih untuk menjayakan program sempena kedatangan bulan Ramadhan.

Program Ceramah Agama akan diadakan pada 24hb Julai 2011, hari Ahad, malam Isnin. Penceramah terkenal, iaitu Ustaz Kamalrudin bin Omar, Pegawai Agama kepada YAB Menteri Besar Terengganu akan menyampaikan ceramah selepas Solat Maghrib.

Dijemput semua muslimin dan muslimat hadir ke majlis Ilmu yang dijanjikan Allah penuh dengan keberkatan.

11 Jun 2011

MASJID GUNTUNG LUAR MASJID ANGKAT PEJABAT AGAMA DAERAH SETIU

Masjid Guntung Luar telah dipilih sebagai masjid angkat Pejabat Agama Daerah Setiu. Pemilihan ini telah diumumkan oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu semasa kunjungan beliau dan rombongannya ke masjid ini pada 9hb Jun 2011 yang lalu.

Pengurusan Masjid Guntung Luar merakamkan ucapan terima kasih di atas pemilihan ini dan berharap dengan pemilihan ini, usaha untuk menambah baik aktiviti dan program masjid akan dapat dilaksanakan oleh Pejabat Agama Daerah Setiu. Di samping itu juga pengurusan masjid berharap kemudahan yang disediakan akan ditambah baik bagi keselesaan pengguna.

Terima kasih.


KUNJUNGAN PESURUHJAYA HAL EHWAL AGAMA TERENGGANU

9hb Jun 2011 Masjid Guntung Luar mencatat sejarah baru. Masjid Guntung Luar telah menerima kunjungan rombongan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) diketuai oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Tuan Haji Mohd Rozali bin Salleh. Rombongan ini juga turut disertai oleh Ketua-Ketua Penolong Pesuruhjaya dan Pegawai-pagawai kanan JHEAT. Turut serta juga pegawai-pegawai agama daerah-daerah negeri Terengganu.

Majlis ini merupakan majlis taaruf bagi tujuan merapatkan hubungan antara pihak JHEAT dengan masyarakat kampung. Ianya bertujuan untuk melihat dan mendapatkan pandangan berkaitan dengan situasi dan masalah masjid di seluruh negeri Terengganu.

Di dalam majlis berkenaan, Tuan Haji Mohd Rozali berharap masyakarat kampung akan terus mengimarahkan masjid. Adalah menjadi harapan pihak JHEAT supaya rumah Allah akan terus hidup dan diimarahkan sepenuhnya. Beliau juga berharap solat berjemaah setiap waktu dipenuhi oleh ahli kariah sama seperti solat Jumaat.
Majlis ini mendapat sambutan masyakarat kampung di mana hampir 300 orang telah turut sama hadir ke masjid. Turut sama di dalam majlis ini ialah para imam, pengerusi dan ahli JKKK serta masjid dari daerah setiu.
Masjid Guntung Luar menyambut baik saranan dan harapan yang disampaikan oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu. Daya usaha senantiasa diambil oleh Pengerusi dan Jawatankuasa Masjid Guntung Luar untuk terus memakmurkan masjid.
Seluruh ahli kariah masjid merakamkan ucapan terima kasih kepada Pesuruhjaya dan rombongannya di atas kesudian memilih masjid Guntung Luar untuk dikunjungi.

22 Ogos 2010

BERTARAWIH BERSAMA IMAM TIMUR TENGAH

Pengalaman yang Ramadhan yang lalu kini dikecapi lagi. Ahli kariah Masjid Guntong Luar sekali lagi bertuah kerana selama tiga malam bermula 19hb Ogos 2010 dapat bersama-sama solat tarawih bersama imam dari Timur Tengah. Ahli Kariah menyatakan rasa syukur dan meluahkan perasaan seronok apabila mendengar bacaan Quran daripada imam dari Timur Tengah.

Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu yang meneruskan program ini dengan jayanya.
Diharapkan program ini akan diteruskan oleh Kerajaan Negeri Terengganu di masa akan datang. Masjid Guntong Luar berharap, di samping para imam dari Timur Tengah tersebut, dapat juga diketengahkan imam-imam muda kita seperti dari MARPA, UNisZa atau IQT sendiri.

MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA YB ADUN

Majlis berbuka puasa anjuran Yang Berhormat En.Ab. Halim bin Jusoh, ADUN Permaisuri telah diadakan di Masjid Guntong Luar pada hari Khamis, 19 Ogos 2010 yang lalu. Program ini dilaksanakan berasaskan konsep gotong royong antara JKKK di Zon 4. Setiap JKKK telah diberi amanah menyediakan menu menu yang tertentu. Konsep ini memperlihatkan kerjasama dan kesepakatan antara semua JKKK.

Masjid Guntong Luar telah dipilih menjadi tuan rumah bagi program ini. Dengan berkat usaha semua pihak, alhamdulillah program ini dapat dijayakan dengan sempurnanya. YB. Encik Abdul Halim Jusoh telah menyampaikan sumbangan kepada Pengerusi-Pengerusi Masjid dan Surau, tidak ketinggalan juga lebih daripada 100 orang anak yatim di Zon 4 menerima sumbangan daripada Yang Berhormat.

Semoga usaha yang dilaksanakan ini mendapat keberkatan daripada Allah SWT Hendaknya jua. Insya Allah.

10 Ogos 2010

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN

Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Masjid Guntong Luar mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam. Semoga dengan kita beroleh keberkatan di atas kelebihan yang dikurniakan Allah SWT di bulan Ramadhan ini, Insya Allah.

Selamat Berpuasa.