11 Jun 2011

KUNJUNGAN PESURUHJAYA HAL EHWAL AGAMA TERENGGANU

9hb Jun 2011 Masjid Guntung Luar mencatat sejarah baru. Masjid Guntung Luar telah menerima kunjungan rombongan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) diketuai oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Tuan Haji Mohd Rozali bin Salleh. Rombongan ini juga turut disertai oleh Ketua-Ketua Penolong Pesuruhjaya dan Pegawai-pagawai kanan JHEAT. Turut serta juga pegawai-pegawai agama daerah-daerah negeri Terengganu.

Majlis ini merupakan majlis taaruf bagi tujuan merapatkan hubungan antara pihak JHEAT dengan masyarakat kampung. Ianya bertujuan untuk melihat dan mendapatkan pandangan berkaitan dengan situasi dan masalah masjid di seluruh negeri Terengganu.

Di dalam majlis berkenaan, Tuan Haji Mohd Rozali berharap masyakarat kampung akan terus mengimarahkan masjid. Adalah menjadi harapan pihak JHEAT supaya rumah Allah akan terus hidup dan diimarahkan sepenuhnya. Beliau juga berharap solat berjemaah setiap waktu dipenuhi oleh ahli kariah sama seperti solat Jumaat.
Majlis ini mendapat sambutan masyakarat kampung di mana hampir 300 orang telah turut sama hadir ke masjid. Turut sama di dalam majlis ini ialah para imam, pengerusi dan ahli JKKK serta masjid dari daerah setiu.
Masjid Guntung Luar menyambut baik saranan dan harapan yang disampaikan oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu. Daya usaha senantiasa diambil oleh Pengerusi dan Jawatankuasa Masjid Guntung Luar untuk terus memakmurkan masjid.
Seluruh ahli kariah masjid merakamkan ucapan terima kasih kepada Pesuruhjaya dan rombongannya di atas kesudian memilih masjid Guntung Luar untuk dikunjungi.